5 TIPS UNTUK MEMILIH TAJUK FYP

Perkongsian yang abang tulis ni hanyalah dari sudut pandang abang sebagai seorang pengajar kemahiran. Adapun untuk peringkat yang lebih tinggi seperti pelajar-pelajar IPT, ambillah mana yang berguna, jika berkurang, rujuklah kepada yang lebih berwibawa dan berkelayakan. Hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai.

Ok…back to the topics….

Mengikut pengalaman abang, bermula dari fasa pencarian tajuk projek lagi pelajar sudah mula mengalami kesukaran. Projek belum bermula pun lagi, tapi ramai dah buntu. Kenapa? Kerana nak cari tajuk projek ni memang rumit sedikit walaupun secara teknikalnya untuk menyiapkan projek FYP ini sebenarnya lagi rumit. Bak kata orang putih “ good ideas are cheap, and implementation is expensive‘’ – Betul ke ayat ni . Jadi teruskan membaca semoga boleh menjadi sedikit suluh untuk anda memilih tajuk yang sesuai utk FYP

5 TIPS UNTUK MEMILIH TAJUK FYP

1) Buat kajian dan kenali permasalahan sekeliling & tahu hala tuju projek anda sendiri

Pernahkah kita menerima pertanyaan ataupun kita sendiri bertanya seperti ini:
“Eh! Ngko ni apasal?”
“Kenapa jadi macam ni?”
“Ngko ni dah kenapa?”
Dan lain-lain..

Sebab apa kita bertanya begitu? Sebab kita nak tahu permasalahan yang dihadapi. Bila dah tahu masalah, barulah kita boleh bertindak untuk mencari solusi kepada penyelesaian masalah dan melaksanakannya utk menyelesaikan masalah tersebut.
Jadi apa kaitannya dalam kontek pemilihan tajuk FYP? Pemilihan tajuk sebenarnya mestilah berkait rapat dengan masalah yang berlaku . Kenapa? Kerana projek anda bangunkan tersebut sebenarnya dibuat untuk menyelesaikan masalah yang wujud. Jadi yang paling utama anda mesti cari masalah. Bukan anda pegi buat masalah pula ye.. Ini maksudnya mencari permasalahan yang wujud di sekeliling anda samada di peringkat industri atau pengguna harian. Contoh:-

Contoh Permasalahan:
Anda sebagai pelajar tinggal di asrama. Masa hendak outing prosesnya begitu remeh pada pendapat anda. Kena isi buku keluar masuk dahulu, selepas tu kena jumpa warden untuk kebenaran keluar. Selepas tu kena mengadap pengawal keselamatan pula dan isi maklumat di buku log pula. Kalau masa cuti semester, bottle neck kat pondok guard sebab pelajar beratur nak tunggu giliran isi buku log. Warden nak periksa rekod keluar masuk pun agak sukar kerana kena periksa secara manual di buku log. Fuhhh! Proses yang memakan masa juga…

Jadi anda dah nampak apa masalahnya di sini kan? Masalah-masalah yang ada inilah yang anda cuba selesaikan dengan pembangunan projek anda. Kajian permasalahan ini membolehkan anda tahu apa sebenarnya objektif yang hendak dicapai & apakah skop projek yang perlu dirangkum bagi kejayaan projek tersebut. Kajian permasalahan ini anda kuatkan lagi dengan input-input dari pengguna atau rakan-rakan anda yang boleh anda perolehi dalam bentuk survey. Bukankan semua dapatan-dapatan ini akhirnya membantu anda untuk “bercerita” masa present proposal dengan penyelia dan pengajar nanti dan akhirnya projek anda diterima?

Solusi:
Bangunkan satu sistem keluar masuk (contohnya anda namakan sebagai e-Outing) yang akhirnya boleh meyelesaikan masalah-masalah yang wujud sebelum ini. Bagaimana nak buat? Itulah tugasan anda sebagai pembangun projek yang perlu anda fikirkan. Ikut kemampuan. Tidak perlu anda nak selesaikan semua masalah yang wujud. Sebab mungkin sebahagiannya diluar kemampuan anda. Sekurang-kurangnya anda telah berjaya mengurangkan permasalahan yang wujud dan berjaya menambahbaik proses / prosedur sedia ada. Jika kesemua masalah berjaya anda selesaikan, itu adalah bonus bagi anda.

Konon-konon sistemnya lebih kurang mcm ni laa



Namun perlu diingat, pembangunan projek anda haruslah merangkumi CU (Competency Unit) bagi NOSS bidang kemahiran anda. Contoh bagi bidang Komputer Rangkaian (IT-030-4:2013), perlulah projek menyentuh mana-mana CU. ( Kalau anda pelajar kemahiran tak tahu apa itu NOSS, apa itu CU, yg ni abang rasa nak bagi smackdown je kat korang)

Contoh anda membangunkan sistem keluar masuk ini? Bagaimana anda nak memastikan ia merangkumi CU dalam bidang anda? Kalau anda membangunkan sistem semata-mata, jadi projek anda bukanlah sebuah projek Komputer Rangkaian. Jadi sistem tersebut perlu dimasukkan elemen CU berkaitan sebagai tulang belakang projek anda. Contohnya anda membangunkan sistem bersama pembangunan server, melibatkan konfigurasi IP Address, dengan servis network berkaitan seperti web server, database server, penggunaan sistem secara web base dalam LAN atau WAN dan lain-lain. Jadi projek anda tersebut telah merangkumi CU Server Configuration. Jadi bila PPL tanya projek tersebut dibangunkan merujuk kepada CU mana, bolehlah anda menjawap dengan yakin dan tegas.

Kesimpulannya, anda perlu beradaptasi dengan masyarakat atau kumpulan sasaran anda dan ketahui apa masalah yang mereka hadapi. Dari situ lah tercetusnya idea untuk anda mulakan FYP anda. Haaaa…macam menarik kan?

2) Jangan bertangguh kerja

“Bertangguh itu pencuri masa.” Pernah dengar peribahasa ini? Ni tok nenek kita cipta peribahasa ni bukan sambil hisap rokok daun dan mulut menghirup kopi o pekat ye. Ni perkara serius. Nak beritahu betapa pentingnya merancang kerja dan jangan buang masa.

Kalau penyelia dah tetapkan tarikh untuk present proposal FYP anda dan diberitahu lebih awal, contohnya 2 bulan awal, itu tidak bermakna selepas sebulan baru anda mula nak cari projek yang sesuai. Lakukan segera! Buat kerja biar awal-awal. Dan biasakan jadi yang terawal. Kerana yang terawal, punya masa lebih untuk memperbaiki sebarang kekurangan. Anda tidak akan pernah rugi pun.

Ye! Dalam tempoh dua bulan macam-macam boleh berlaku , dan ada yang anda tak jangka. Dengan tugasan anda sebagai pelajar lagi, nak siapkan tugasan-tugasan subjek lain lagi, atau tiba-tiba tarikh present diawalkan! Jadi gunakan ruang dan peluang masa yang ada dengan mula mengkaji, mengaji dan merancang kerja. Sediakan dengan 2-3 tajuk yang berlainan sebagai backup jika idea utama anda ditolak.

3) Pastikan sumber rujukan yang mencukupi, mudah diprolehi

Ada dikalangan pelajar yang cuba mengetengahkan idea projek yang baru. Baru di sini bermaksud belum pernah ada atau jarang-jarang sekali orang membuat projek tersebut. Jadi jikalau melibatkan idea baru ni, anda kena banyak berhati-hati. Kenapa?

Anda perlu tahu dalam menyiapkan thesis/laporan FYP nanti, kajian literasi (literature review) adalah subtopic yang besar peranannya dalam kajian anda. Dalam bab ini anda perlu menyatakan maklumat-maklumat kajian terdahulu yang berkaitan dengan kajian yang sedang dijalankan. Jadi masalah akan timbul jika nanti jika tajuk atau projek yang akan anda laksanakan nanti tidak banyak sumber rujukannya. Jika sumber rujukan banyak, secara tak langsung ia akan membantu anda dalam menyiapkan misi anda. Sumber yang banyak ini boleh dibuat perbandingan dan anda hadamlah mengikut tahap kefahaman dan penerimaan anda

Kesilapan sesetengah pelajar adalah mereka pilih tajuk yang agak ‘rare’ yang pada pandangan mereka lain dari yang lain, sehinggakan rujukan dan maklumat kajian sebelumnya pun susah nak diperolehi. Keluar peluh jantan cari kat Pak Cik Google tapi tak jumpa-jumpa juga.

Sebenarnya nak score FYP ni tak semestinya idea kena gempak gila, tapi cukup sekadar kajian tu informatif dan sangat berguna pada pengguna tertentu atau masyarakat sekeliling. Boleh merujuk kepada projek-projek yang telah dibuat sebelum ini dan anda perlu mencari kekurangan dan menambahbaik projek tersebut dengan idea-idea atau ciri-ciri baru. Yang penting anda cukup jelas dengan objektifnya dan anda berusaha untuk mempertahankan idea tersebut sehingga ke titisan darah terakhir. ( dah macam nak pergi berperang pula)

4) Banyakkan membaca

Ya! Banyakkan membaca. Membaca jambatan ilmu. Kurang membaca, kuranglah input-input dan dapatan yang diperlukan. Menurut kajian, orang yang banyak membaca ni, payah nak kena penyakit nyanyuk ( tengok juga apa bentuk bacaaannya tu)

Kemampuan anda untuk menyiapkan FYP mungkin terhad mengikut pengetahuan dan bidang yang anda pelajari. Jadi mungkin ada pihak-pihak lain juga yang terlibat sama dalam membantu anda menyiapkan projek. Sebagai contoh, anda mungkin akan memerlukan bantuan mana-mana freelance programmer, application designer, web designer dan sebagainya untuk menyiapkan sesuatu tugas yang di luar kemampuan anda.

Pendapat abang, jika anda outsource tugasan-tugasan tersebut kepada orang lain itu bukan satu masalah besar. Masalah akan jadi besar bila anda tidak tahu dan tak nak ambil tahu langsung berkenaan proses yang anda outsource kan tersebut. Jadi sepatutnya jika anda dah fikirkan tajuk kajian, cuba analisa secara kasar, apakah proses-proses yang bakal terlibat dalam kajian tu nanti? Adakah sepenuhnya programming? Mekanikal? Elektronik? Server? Bagaimana nak fahami semua proses tu jika ia bukan bidang yang anda pelajari? Ya.. Membaca, membaca dan membaca!

Apa yang abang perasan sekarang ni trend kajian di semua IPT tempatan sangat menekan konsep Industry 4.0. Dan ia adalah sesuatu yang sangat digalakkan dalam pembangunan FYP. Yakinlah, kalau anda kurang membaca, itu akan memberikan impak yang negatif pada permulaan, semasa dan peringkat akhir kajian anda

5) Interaksi dengan Penyelia / Pengajar

Dan tersangat penting, keraplah berjumpa dengan penyelia atau pengajar anda, bertanya, bertanya dan bertanya untuk mendapatkan input sebanyak mungkin. Penyelia dan pengajar adalah orang kedua penting selepas diri anda sendiri dalam pembangunan FYP. Cuba untuk sentiasa berkomunikasi dengan penyelia dan pengajar anda dan sentiasa bertanya jika ada masalah dalam FYP. Biar nampak kesungguhan anda. Nanti ada la markah kesian penyelia boleh berikan asbab dari kesungguhan yang anda zahirkan.

Jika anda dah ada tajuk tapi penyelia tak approve maka projek masih tak boleh nak diteruskan juga. Jadi memang sangat penting untuk berinteraksi dengan penyelia anda. Jangan hadkan komunikasi berkaitan FYP ini sepenuhnya kepada penyelia sahaja. Boleh rujuk juga dengan pengajar-pengajar lain yang anda rasa boleh membantu anda mendapatkan input yang berkaitan. Kerana pengajar yang berlainan mungkin mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Jadi anda boleh mempelbagaikan dapatan anda dari pelbagai sumber.

Mungkin ada juga kes proposal anda kerap di tolak. Jadi anda kenalah berbincang sebaiknya dengan penyelia dan pengajar kenapa projek tersebut ditolak. Kebiasaanya tajuk-tajuk yang kena reject tu kerana alasan dah pernah dibuat sebelum ni, terlalu simple, tak menyentuh mana-mana CU dalam NOSS atau tak mencapai piawaian Industry 4.0. Jadi sebelum anda mula untuk mencari tajuk, minta pendapat penyelia dan pengajar dahulu. Jangan dah dapat tajuk baru nak tanya pendapat pengajar. Nanti tak diterima jadi sia-sia pula masa anda dah habiskan untuk cari tajuk tu kan?

Ok lah, itu saja tulisan abang untuk kali ini. Agak panjang. Dah macam tulis cerpen. Ingat nak tulis lagi, tapi cukuplah setakat ini dahulu. Abang nak ucapkan Selamat Berjaya untuk anda yang sedang berusaha menyiapkan tugas FYP anda. Kalau anda rasa tulisan ini bermanfaat untuk rakan-rakan yang lain, silakan share ok. Jumpa lagi Terima Kasih.

Avatar photo
About MdYie 34 Articles
Orang biasa-biasa je,  suka tolong orang. Pelajar-pelajar bidang kemahiran yang pening nak dapatkan tips, panduan berkenaan server, networking, ICT, boleh je roger-roger. Tak nak bagi orang pening-pening. Jadi, jangan pening! Kita kongsi sama